mutakhir

Ganja paling banyak dirampas

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

HAMPIR dua tan dadah bernilai kira-kira RM50.16 juta di rampas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pelbagai operasi serta serbuan, Januari lalu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, jumlah itu membabitkan ganja sebanyak 1,145 kg, syabu (607 kg), heroin (107 kg), pil eramin 5 (62 kg), ekstasi (28 kg), pil yaba (11 kg) dan ketamin 10 kg.

“Paling banyak dirampas dalam operasi serta serbuan kita jalankan adalah dadah jenis ganja yang keseluruhannya seberat lebih satu tan dan bernilai kira-kira RM22 juta.

“Kesemua dadah ini bagi keperluan 200 juta penagih dadah berdasarkan satu kali pengambilan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Mohmad Salleh berkata, sepanjang tempoh itu juga, PDRM sudah menangkap 35,116 individu terbabit dadah iaitu 5,587 individu kerana mengedar bekalan dadah,13,548 individu kerana memiliki dadah dan 15,981 individu kerana positif dadah.

“Menerusi tangkapan ini, 33,021 adalah warga tempatan manakala 2,095 adalah warga asing dan 220 tangkapan lagi dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Sepanjang tempoh itu juga, kita sudah menyita harta bernilai RM17.56 juta berkait dengan aktiviti dadah serta sebanyak RM470,000 nilai harta juga sudah dilucutkan hak,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 8:07pm
d