mutakhir

Berpantun tanya soalan di Dewan Rakyat

Oleh Syed Umar Ariff; Rohaniza Idris; Meor Riduwan Meor Ahmad; Nur Lela Zulkipli; Suhael Adnan; and Siti Nur Mas Erah Amran.

SESI soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini diwarnai dengan ungkapan pantun dan bidalan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Lontaran pantun secara bersahaja dan sinis itu sekali gus menceriakan suasana perbahasan sebelah pagi.

Sejurus selesai bacaan doa, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memulakan sesi pertanyaan lisan dengan fokus kepada Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK 21).

Beliau yang ingin tahu jumlah terkini sekolah di seluruh negara di kawasan luar bandar dilengkapi dengan elemen PAK 21 yang mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah mengungkapkan pantun sinis mengenai masalah air di Selangor dan isu pembinaan terowong bawah tanah di Pulau Pinang.

Ayaq tak dak satu penyiksaan,

Terowong korup pun dah jadi perbualan,

PA 21 impian kerajaan,

Bagan Serai bangun memulakan soalan.

Selain itu, Noor Azmi juga memohon penjelasan mengenai perancangan kementerian dalam melengkapkan elemen PAK 21 dengan memfokuskan terlebih dulu kepada sekolah di kawasan luar bandar yang kurang mendapat perhatian sektor swasta dan sebagainya.

Sementara itu, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (AMANAH-Parit) turut berpantun ketika menanyakan kes jenayah seksual kanak-kanak yang dikatakan dalam Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak baru.

Beliau yang sempat berseloroh dengan menyatakan bahawa dua soalan awal dari daerah Kerian iaitu Bagan Serai dan Parit Buntar memilih diksi dalam pantunnya.

Mencari-cari di dalam hutan,

Khasiat berzaman geliga lipan,

Ada harapan ada masa depan,

Soalan nombor dua, mohon jawapan.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri SK Devamany pula menggunakan bidalan ' bagaimana acuan, begitulah kuihnya' ketika menyelar sikap Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang membuat kecoh ketika mencelah dalam soalan lisan berkenaan TN50 dikemukakan oleh Ir. Shaharuddin Ismail (BN-Kangar).

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 8:18pm
d