mutakhir

Lagi Datuk ditahan, RM86j dah dibeku

Oleh Ilah Hafiz Aziz

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi suspek bergelar Datuk, hari ini bagi membantu siasatan isu penjualan tanah milik Kerajaan Selangor di Mukim Ijok.

Suspek yang ditahan itu adalah individu yang dicari SPRM, yang sebelum ini dikaporkan berada di negara jiran.

Suspek berusia 53 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas dia hadir untuk memberi keterangan, petang tadi.

Susulan itu, SPRM hari ini difahamkan membekukan beberapa akaun yang bernilai RM47 juta, sekali gus menjadikan sejumlah RM86 juta dibekukan setakat ini.

Kelmarin, enam individu, termasuk dua orang yang bergelar Datuk, berusia antara 34 tahun dan 84 tahun itu ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di antara jam 12.45 tengah hari dan 4 petang.

Antara yang ditahan adalah bapa dan anak lelaki.

Pasukan penyiasat juga membekukan sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik semua suspek yang ditahan.

Ketika ini, siasatan SPRM merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima lebih kurang RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta.

Penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion itu menimbulkan kontroversi dan dipersoalkan pelbagai pihak, termasuk peneroka.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 9:46pm
d