mutakhir

Elaun khas untuk abang bomba

Oleh Syed Umar Ariff; Rohaniza Idris; Meor Riduwan Meor Ahmad; Nur Lela Zulkipli; Suhael Adnan dan Siti Nur Mas Erah Amran

SERAMAI 13,342 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan menerima elaun khas berjumlah RM200 sebulan bermula 1 April ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, elaun khas diberi kerajaan itu bagi menghargai jasa dan khidmat anggota bomba menghulurkan bantuan ketika berlaku bencana.

Beliau turut mengumumkan penambahan elaun sebanyak RM2 khusus bagi anggota bantuan bomba daripada RM6 sejam kepada RM8 sejam, manakala bagi pegawai daripada RM7.80 kepada RM9.80 berkuat kuasa tarikh sama.

“Sempena Hari Bomba yang akan disambut pada 28 April ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan permohonan elaun khas bagi menghargai jasa anggota bomba yang banyak berkorban dalam memastikan keselamatan rakyat terjamin.

“Anggota JPBM sentiasa terdedah kepada bahaya, malah berisiko kehilangan nyawa ketika menjalankan operasi menyelamat dan sebagainya, jadi pemberian elaun khas ini adalah sangat relevan,” katanya ketika menggulung ucapan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong, di Kuala Lumpur, hari ini.

Noh berkata, elaun khas berkenaan turut membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan sebanyak RM2.6 juta sebulan atau RM32 juta setahun.

“Elaun khas RM200 ini sudah diberikan kepada anggota polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini.

“Mungkin elaun khas bagi JPBM kita terlepas pandang, namun sekarang peruntukan elaun khas ini sudah diluluskan untuk dinikmati semua anggota bomba,” katanya.

Beliau berharap elaun khas berkenaan dapat menjadi pendorong kepada semua anggota bomba berkhidmat dengan lebih cemerlang, sekali gus meningkatkan mutu kerja dan produktiviti pada masa depan.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 9:57pm
d