mutakhir

[UPDATE] Alih kapal, tunggu penyelam TLDM

Oleh Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) kini berusaha menarik keluar kapal korek yang terbalik di perairan Parit Jawa, dari laluan kapal dagang.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, usaha itu dilakukan bagi membolehkan kapal berkenaan dibawa ke kawasan lebih cetek dan berhampiran pantai.

Katanya, operasi SAR masih diteruskan dan pada masa sama mereka menunggu ketibaan pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa pelbagai kelengkapan menyelamat selain kepakaran dimiliki mereka.

"Proses menarik kapal korek yang terbalik itu giat dijalankan menggunakan dua kapal penunda milik syarikat kapal serta persendirian.

"Ia bertujuan mengalihkan kapal terbabit dari laluan kapal perdagangan yang sibuk selain ke kawasan lebih cetek berbanding sebelumnya yang mempunyai kedalaman antara 32 hingga 36 meter.

"Maritim Malaysia juga menggunakan peralatan telekomunikasi kapal memaklumkan kapal perdagangan yang melalui kawasan itu untuk mengelak dari menggunakan laluan berhampiran lokasi kejadian," katanya ketila ditemui pemberita di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar, malam ini.

Ditanya kekangan yang dihadapi pasukan SAR dalam menyelamatkan mangsa, Sanifah berkata, antara faktor utama adalah keadaan laut bergelora dan cuaca buruk.

"Kami menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengkritik pasukan SAR kononnya melengahkan usaha menyelamat sebaliknya kitasebenarnya tidak memiliki peralatan khas serta kepakaran untuk menyelamat di kawasan laut dalam.

"Keutamaan kami tetap menyelamatkan nyawa mangsa walaupun berdepan kesukaran," katanya.

Dalam kejadian 7.50 pagi tadi, seorang kru ditemui lemas manakala 14 lagi hilang selepas kapal korek pasir terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa.

Tiga lagi kru berjaya diselamatkan.

Berita berkaitan:

Semoga Aca selamat [METROTV]

Semoga ada sinar harapan

1 lemas, 14 hilang

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 11:20pm
d