mutakhir

Banyak pilihan, harga lebih murah

Oleh Nazura Ngah dan Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

Kuala Lumpur: Kepelbagaian produk yang ditawarkan di outlet Kedai Rakyat 1 Malaysia 2.0 (KRIM2.0) diakui memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Rata-rata pengguna yang ditemui di sekitar majlis pembukaan outlet KRIM2.0 di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, teruja dengan kepelbagaian produk yang dijual, terutama barangan keperluan harian.

Pengguna, S Velama, 62, berkata, produk KRIM2.0 beri lebih banyak pilihan selain membantu menjimatkan perbelanjaan harian pengguna.

“Berbanding KRIM1.0, produk KRIM2.0 lebih pelbagai dan memberi banyak pilihan kepada pengguna.

“Malah, harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga di pasaran dan ia membantu saya berjimat.” katanya ketika ditemui.

Manakala, Rozati Abdul Latiff, 56, berkata produk KRIM2.0 masih kekal murah berbanding harga pasaran.

“Sebelum ini, saya beli barang keperluan harian seperti minyak masak dan gula KRIM1.0 kerana harganya murah.

“KRIM2.0 mengekalkan harga yang murah dan ia meringankan beban perbelanjaan harian saya.” katanya.

Kira-kira 500 pengunjung hadir seawal 9 pagi bagi menyaksikan perasmian kedai berkenaan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penstrukturan barangan KRIM2.0 yang menggunakan pembungkusan asal produk berjenama dan berkualiti dilihat mampu meningkatkan keyakinan pengguna.

Mazni Zuriyaty Mansor, 42, yakin dengan penggunaan pembungkusan asal, lebih ramai pengguna akan membeli produk KRIM2.0.

“Produk KRIM2.0 kini menggunakan pembungkusan asal yang menarik berbanding produk terdahulu, sekali gus menambah daya tarikan kepada pengguna.” katanya.

Pelaksanaan KRIM2.0 mula beroperasi sejak Februari, menerusi tiga kategori iaitu, pertama, konsep pasar raya menerusi rangkaian pasaraya TMG; kedua, jualan produk di rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart terpilih dan ketiga, di kedai runcit yang berdaya saing.

Logo KRIM2.0 turut dipasang pada papan tanda di kedai terpilih, sebagai tanda penjualan produk KRIM2.0.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 4:26am
d