mutakhir

Penghormatan terakhir buat Siringan [METROTV]

Oleh Suzianah Jiffar dan Olivia Miwil

Kota Kinabalu: Datuk Seri Najib Razak memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Siringan Gubat yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah di Wisma Fook Lu Siew di sini, semalam.

Ketibaan Perdana Menteri diiringi Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman itu turut disambut isteri mendiang Datin Rozelind Wong dan anaknya, jam 2.40 petang.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 10 minit sebelum bergerak ke pusat bandar raya bagi melancarkan Program Jualan Sentuhan Rakyat dan Biz Fair Peringkat Negeri Sabah di Dataran Bandaraya, jam 4.30 petang.

Isteri mendiang, Rozelind merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah kerana memberi penghormatan akhir kepada mendiang.

“Terima kasih juga kepada semua pemimpin yang hadir menziarahi mendiang. Perdana Menteri menyatakan mendiang seorang yang baik dan bertanya di mana mendiang akan disemadikan,” katanya.

Mendiang meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, pada jam 10.57 malam selepas mengadu menghadapi kesukaran pernafasan.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 4:37am
d