mutakhir

Gudang perabot, bengkel kereta musnah

Oleh Teoh Pei Ying

Kuala Lumpur: Sebuah gudang perabot dan bengkel kereta di Jalan Puchong Batu 6 1/2, berhampiran sebuah pangsapuri, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, gudang berkenaan terbakar 85 peratus manakala bengkel itu musnah sepenuhnya termasuk sembilan kenderaan.

Pemilik gudang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 50-an berkata, dia menerima panggilan daripada pelanggannya jam 10 pagi sebelum menghubungi bomba berhubung kejadian itu.

“Saya mewarisi gudang itu daripada bapa sejak 15 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, ini kali pertama premis itu terbakar.

“Antara barangan yang ada dalam gudang termasuk perabot dibeli sebelum perayaan Tahun Baru Cina dan set bilik tidur mewah yang akan dipamerkan kepada pelanggan hari ini (semalam). Kami belum mengetahui nilai kerugian akibat kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Khiruddin Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.01 pagi.

“Seramai 83 anggota bersama 13 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil, BBP Seputeh, BBP Pantai, BBP Hang Tuah, BBP Pudu dab BBP Sentul dikerah ke lokasi kebakaran.

“Jentera pertama tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian dan kebakaran itu dikawal sepenuhnya jam 11.29 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari gudang perabot dan merebak ke bengkel kereta.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 4:47am
d