mutakhir

Tak takut jarum

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Sebanyak 947 pain darah berjaya dikumpul dalam kempen derma darah anjuran MK 10 Briged Para sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-85 di Dewan Serbaguna Kem Terendak, Melaka, kelmarin.

Program dirasmikan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah itu mendapat sambutan menggalakkan warga tentera terdiri daripada pegawai dan anggota termasuk staf awam yang bertugas di kem berkenaan.

Hasagaya berkata, matlamat utama program itu adalah untuk menggalakkan anggota dan pegawai tentera menderma darah sekali gus menambah stok bekalan yang diperlukan Pusat Darah Negara (PDN).

“Walaupun ramai yang datang untuk menderma, namun selepas saringan dijalankan kita berjaya mengumpul 947 pain darah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Dalam majlis perasmian program itu, Hasagaya menyerahkan pek berisi darah kepada Timbalan Pengarah II PDN, Dr T M Darumalinggam sebagai simbolik kerjasama kedua-dua pihak.

Sementara itu, pengerusi program yang juga Panglima 10 Briged Para Brigedier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, penganjuran program berkenaan diharap dapat memastikan bekalan tabung darah negara sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan setiap hari.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 4:49am
d