mutakhir

55,000 sahkan kehadiran

Oleh Mohd Razlan Salleh

Serdang: Jambori Minggu Permotoran Negara (MBW) 2018 yang bermula esok, terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila seramai 55,000 pengunjung mengesahkan kehadiran mereka melalui pendaftaran dalam talian (online).

Presiden Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang jambori berkenaan termasuk persembahan istimewa untuk peminat permotoran tempatan.

“Pada majlis pembukaan Jumaat (esok), pengunjung dihiburkan dengan konsert khas daripada Datuk Ramli Sarip manakala pada Sabtu, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar turut berkenan merasmikan pelancaran MBW bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ketika majlis pelancaran pada 24 Mac itu, sebanyak 20 pemenang cabutan bertuah motosikal akan diumumkan,” katanya ketika meninjau persiapan akhir MBW 2018 di laman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), semalam.

Ab Rauf berkata, pengunjung yang memiliki kupon nombor bertuah mesti berada di kawasan pameran untuk menuntut hadiah mereka.

“Sekiranya nombor dipanggil dan mereka tiada, penganjur tidak akan memberikan hadiah ini dan dianggap tiada pemenang.

“Hadiah hanya akan diberikan kepada pemegang kupon bersama MyKad sebagai pengesahan sepanjang cabutan berlangsung,” katanya.

Menurut Ab Rauf, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan jambori berkenaan.

“Saya menjemput semua rakyat Malaysia tidak kira bermotosikal atau tidak, motosikal besar atau kecil untuk hadir. Ini adalah hari kita.

“Secara tidak langsung (jambori) ini dapat membuktikan rakyat Malaysia boleh melakukan sebarang aktiviti keraian dalam keadaan aman.

“Ini adalah satu mesej bahawa keamanan mampu memberikan segala-galanya untuk kita,” katanya.

Sementara itu, ketika meninjau persiapan berkenaan, Ab Rauf berpuas hati dengan 90 peratus daripadanya hampir siap.

“Saya melihat kenderaan milik Sultan Johor sudah bersedia untuk dipamerkan kepada orang ramai selain pihak Urusetia di seluruh negara juga mula mengedarkan baju-T yang akan dijual secara rasmi bagi melayakkan pengunjung mendapat kupon cabutan bertuah.

“Urusetia dilihat sudah bersedia untuk menerima tetamu yang hadir manakala gerai jualan juga sudah dihias termasuk acara persembahan dan program berkaitan permotoran,” katanya.

Terdahulu, objektif MBW 2018 adalah menggabung dan merapatkan semua persatuan permotoran tempatan bagi memupuk nilai peribadi dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan bikers di segenap peringkat umur.

Acara itu juga memberi peluang kepada syarikat tempatan mempromosikan produk permotoran selain membantu individu menjual dan membeli motosikal pada harga terpakai.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 5:44am
d