mutakhir

Baling dilanda ribut kali ketiga

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Sebanyak 30 rumah mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda lima kampung di sini, kelmarin.

Penduduk yang terjejas dalam kejadian jam 7 malam itu ialah Kampung Dalam Wang, Sungai Limau, Charok Nau, Charok Sikin dan Taman Seri Harapan, Kupang.

Kejadian ribut itu adalah kali ketiga melanda Baling pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sekretariat Bencana Daerah Baling, Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman berkata, keseluruhannya 200 rumah mengalami kerosakan.

“Petang semalam (kelmarin) 30 rumah dilanda bencana itu dan ada antaranya rosak teruk dihempap pokok. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Md Shuhaimie berkata, bantuan segera disampaikan kepada mangsa dengan kerjasama Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling dan Majlis Daerah Baling (MDB).

“Bantuan awal berupa barangan makanan dan kit bencana seperti selimut, kain pelekat diberikan kepada mangsa.

“Manakala APM, MDB, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membantu memulih kawasan yang terjejas akibat bencana,” katanya.

Menurutnya, Penghulu Mukim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan memberi laporan bagi memudahkan bantuan pemulihan rumah dilakukan segera.

“Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling akan membantu membaiki rumah yang rosak.

“Kita juga akan memanjangkan kes ini kepada Lembaga Tabung Bencana Negara (NADMA) supaya dipertimbangkan bantuan segera,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Abd Rahman Othman, 49, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Hazira Mohd Noor, 43, dan empat anak berada di rumah.

“Tiba-tiba dalam sekelip mata sebatang pokok durian di tepi rumah tumbang.

“Batang kayu menghempap berdekatan anak saya tidur tetapi mujurlah Allah melindunginya sebelum saya menarik anak keluar,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga menjadi trauma kerana kejadian itu kali pertama berlaku.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 5:59am
d