mutakhir

Tunda kapal korek ke permukaan cetek [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria

KAPAL korek terbalik, JBB Rong Chang 8, akan ditunda ke permukaan lebih cetek jika usaha pasukan penyelam memasuki kapal berkenaan berdepan halangan atau kesukaran.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan, Datuk Abu Bakar Idris berkata, usaha berkenaan sudah mula dilakukan sejak semalam bagi mengelak kapal korek itu hanyut dibawa arus.

Katanya, ketika ini terdapat dua kapal tunda bertindak menahan kapal korek berkenaan bagi menstabilkannya serta menghalangnya hanyut.

"Jika usaha menyelam berdepan kesukaran, kita akan tunda kapal itu ke arah kawasan darat yang lebih cetek bagi menyelamat kesemua mangsa yang masih terperangkap.

"Proses menunda kapal itu dijangka mengambil masa kira-kira dua jam untuk ke kedudukan tiga batu nautika berdekatan daratan.

“Maritim Malaysia dan kesemua agensi lain akan menggerakkan apa sahaja operasi dan aset bagi menyelamat mangsa yang masih terperangkap,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi SAR Pantai Leka, Parit Jawa, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Komander Selam dan Peperangan, Periuk Api TLDM Pangkalan Lumut, Kapten Tay Yep Leong.

Semalam, NSTP melaporkan seorang kru ditemui lemas manakala 14 lagi masih hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, kira-kira 7.50 pagi.

Tiga lagi kru berjaya diselamatkan.

Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 krew dipercayai terperangkap di dalam kapal itu kira-kira 8.50 pagi.

Berita berkaitan:

TLDM usaha apungkan kapal korek

[UPDATE] Alih kapal, tunggu penyelam TLDM

Semoga Aca selamat [METROTV]

Semoga ada sinar harapan

1 lemas, 14 hilang

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 12:11pm
d