mutakhir

Polis buru penyamun Hilux

Oleh Fazrik Kamarudin

POLIS memburu sekumpulan penyamun yang aktif menyasarkan pemilik pikap Toyota Hilux sebagai mangsa di sekitar kawasan Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, sehingga semalam, sebanyak satu kes samun dan empat kes cubaan samun sudah direkodkan pada tahun ini.

"Melalui laporan yang dibuat, polis sudah membuka lima kertas siasatan iaitu satu kertas siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan samun berkumpulan dan empat lagi kertas siasatan mengikut seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan samun.

"Modus operandi kumpulan ini akan menyerang mangsa yang memandu Toyota Hilux yang berhenti di kawasan pam minyak dan di kawasan tepi jalan menggunakan parang dan pisau," katanya dalam satu kenyataan.

Dzaffir berkata, pihaknya sedang giat memburu suspek yang terbabit dan maklumat diperoleh bagi tindakan mengesan serta menangkap suspek bagi tujuan siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Asisten Supritendan Mohd Irwan di talian 0173168097.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 3:44pm
d