mutakhir

Pemandu lori nafi akibat kematian empat beranak [METROTV]

Oleh Nur Aqidah Azizi

PEMANDU lori yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan empat sekeluarga warga Singapura di Lukut, Port Dickson pada awal Januari lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

Tertuduh P Mani, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan berbeza dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd Razak.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu dengan berbahaya dan menyebabkan kematian Rosli Samad, 54, dan isterinya Maimunah Sapari, 51, serta anak mereka Nor Amalina, 21, dan Dayana Sarah, 19, di persimpangan lampu isyarat Jalan Lukut-Sepang, pada 2.30 petang, 3 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 serta lesen memandu digantung.

Siti Khairiah menetapkan tarikh sebutan semula pada 16 April depan dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM32,000 dengan syarat tambahan lesen memandunya diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, empat sekeluarga warga Singapura maut apabila sebuah lori dari arah Sepang, Selangor gagal memberhentikan kenderaan lalu melanggar tiga kereta dan sebuah motosikal yang berhenti di lampu isyarat di persimpangan jalan berkenaan.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 4:10pm
d