mutakhir

Jalan licin akibat minyak tumpah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TRELER membawa muatan minyak generator terbalik menyebabkan berlaku tumpahan minyak di Kilometer 35.7 Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur di Gombak, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Tey Kong Seng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.51 tengah hari memaklumkan sebuah treler terbalik di lokasi kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika treler itu menuruni bukit sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan menghalang laluan kiri serta tengah lebuh raya berkenaan.

“Ia turut menyebabkan muatan minyak generator dibawa treler berkenaan tumpah sekali gus mengakibatkan laluan terbabit licin," katanya.

Katanya, pemandu treler berusia 40 tahun dihantar ke Hospital Selayang dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, setakat 6 petang tadi, laluan dari Bentong ke Kuala Lumpur ditutup bagi kerja pengalihan treler berkenaan.

“Satu lorong khas (laluan bertentangan) dibuka untuk kenderaan menuju ke Pantai Timur," katanya.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui akaun Twitter memaklumkan kerja pembersihan masih dijalankan di lokasi kejadian dan trafik masih sesak bermula dari Bukit Tinggi, Bentong.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 7:42pm
d