mutakhir

Pekerja salun dipenjara kerana edar dadah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

PEKERJA salun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.3 kilogram, dua tahun lalu.

Norsyafilah Pawawoi, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak lebih 10 kali jika sabit kesalahan.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati, tetapi pertuduhan ditukar pada April tahun lalu untuk membolehkan hukuman lebih ringan.

Hakim Azhahari Kamal Ramli kemudian menjatuhkan hukuman penajara 12 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Lapangan Terbang Tawau pada 28 Julai, 2016.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Khairunnizam Muhamad Ideris, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Gani Zelika.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 10:00pm
d