mutakhir

Tak sayang nyawa ke adik?

Oleh Amrullah Abdul Karim

PERBUATAN lapan remaja lelaki berusia 12 hingga 14 tahun beraksi dengan basikal lajak bukan saja mengancam nyawa sendiri, malah ditahan dengan kesemua basikal mereka disita pihak polis.

Aksi merbahaya itu dikesan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor ketika menjalankan Op Lampu Merah dan Rondaan Cegah Kemalangan di Kilometer 74.5 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Kalumpang, Kuala Kubu Bharu, 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hulu Selangor Asistan Superintendan Oon Kim Cheng.

"Ketika beliau (Kim Cheng) menjalankan operasi bersama pasukannya, mereka menahan sekumpulan remaja bermain basikal lajak di kawasan terbabit.

"Seramai lapan penunggang basikal lajak ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kalumpang untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kesemua basikal lajak itu disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan remaja terbabit diambil tindakan di bawah Kaedah 42 Lalulintas LN 166/59.

Katanya, pihak polis juga berjumpa dengan ibu bapa remaja terbabit untuk memberi penerangan dan nasihat berhubung aktiviti basikal lajak yang turut merbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:49am
d