mutakhir

40% pengundi di Johor bawah 40 tahun [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor merekodkan sebanyak 40 peratus daripada 1.82 juta pengundi yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang membabitkan golongan belia berusia 40 tahun ke bawah.

Pengarah SPR Johor Shafie Taib berkata, jumlah berkenaan berdasarkan rekod yang diperoleh sehingga suku keempat tahun lalu.

Menurutnya, hingga suku keempat tahun lalu seramai 1,820,617 pengundi berdaftar dan jumlah berkenaan meningkat berbanding 1,563,357 pengundi pada PRU ke-13.

“Bagaimanapun, jumlah berkenaan (daftar pengundi) bergantung kepada mesyuarat SPR selepas pembubaran Parlimen dilakukan.

“Keputusan akan dilakukan nanti sama ada akan mengguna pakai rekod terkini yang akan dikemas kini pada 31 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat kepada petugas media berkaitan proses pilihan raya di Malaysia termasuk pengundian, pusat mengundi di Kelab Media Johor (KMJ), di sini, semalam.

Hadir sama pada sesi taklimat itu Pengarah Akademi Pilihan Raya Hasanul Isyraf Naim dan Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak.

Terdahulu sesi simulasi pilihan raya diadakan membabitkan penyertaan warga media selain didedahkan mengenai peranan Ketua Tempat Mengundi (KTM), Kerani Pengundian 1,2,3 dan 4, selain ejen tempat mengundi.

Shafie berkata, Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sudah 99 peratus bersiap sedia bagi menghadapi PRU14 seperti dijelaskan Pengerusi SPR.

“Baki satu peratus pula berkenaan taklimat dan perkara yang mahu disediakan dari segi saluran dan menunggu arahan lain daripada ibu pejabat,” katanya.

Mengulas mengenai simulasi proses PRU, beliau berkata, selain mendedahkan petugas media mengenai senario PRU sebenar, ia juga penting kepada mereka akan ketelusan SPR menjalankan tugas.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 3:11am
d