mutakhir

Kenal pasti 1,100 individu

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Polis sudah mengenal pasti lebih 1,100 individu di seluruh negara yang berpotensi untuk mencetuskan kekecohan atau surprise last minute attack (SLMA) ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, senarai individu sudah dikenal pasti itu dibuat menerusi analisis yang dilakukan PDRM, termasuk rekod lampau pembabitan mereka dalam melakukan serangan, terutama dalam media sosial.

Katanya, kebanyakan individu itu terbabit melakukan serangan berbentuk provokasi dengan menyebar berita dan laporan palsu.

“Antara bentuk serangan ini kebanyakannya membabitkan serangan di media sosial seperti memainkan isu berkaitan pengundi hantu, penggunaan elemen luar, termasuk serangan IS.

“Jika ada asas bahawa laporan yang dikeluarkan individu dalam senarai itu mampu menimbulkan kekacauan, maka kita akan ambil tindakan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander dan Komandan di Maktab PDRM, Cheras, semalam.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dimasukkan dalam senarai itu.

“Jika ada keperluan, ada lagi individu yang menarik perhatian, senarai ini akan kita tambah.

“Proses itu bukanlah satu ugutan sebaliknya adalah proses biasa bagi memastikan PRU14 berjalan lancar,” katanya.

Menurut Mohamad Fuzi, senarai berkenaan merangkumi profil individu serta pembabitan mereka dalam kekecohan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Jadi, jika ada keperluan untuk bertindak, PDRM akan menggerakkan pasukan cantas daripada CID (Cawangan Siasatan Jenayah) untuk mengambil tindakan terus kepada mereka.

“Malah, tindakan kekerasan mengikut lunas udang-undang boleh dikenakan kepada individu berkenaan jika mereka masih berdegil dengan melakukan kekecohan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 149 kawasan panas merangkumi 116 hotspot dan flash point di Semenanjung dan 33 lagi di Sabah dan Sarawak.

“Sepanjang PRU nanti, 149 kawasan ini akan diberi tumpuan khusus oleh PDRM,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 3:13am
d