mutakhir

Beli gelang RM644,000

Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Resit pembelian gelang jenama Cartier berharga RM644,000 oleh isteri bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia Sukan (KBS) Otman Arsahd, 58, dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Ia dikemukakan oleh saksi ke-49, Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam, 37, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau juga mengemukakan resit pembelian dua jam Cartier atas nama Mastura Annuar (isteri Otman) masing-masing berharga RM350,100 dan RM105,000 yang dibeli pada 2011.

Selain itu, Asmawi turut mengemukakan resit pembayaran beberapa barangan kemas dan jam berharga RM19,000 sehingga RM488,000.

Asmawi dalam keterangannya turut mengesahkan ada merampas sijil pengredan berlian yang dikeluarkan oleh Insitut Gemological Amerika Syarikat dan sijil pengesahan keaslian batu zamrud yang dikeluarkan Persatuan Perdagangan Permata Amerika Syarikat.

Semua itu di dicatatkan dalam borang sitaan yang dikeluarkan terhadap tertuduh ketika SPRM menjalankan siasatan.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Husmarudin Husin.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalahguna kedudukan dan membuat tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di pejabat MSN, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Otman turut didakwa bersama ahli perniagaan Siti Rohanah Hussien, 43, dan suaminya Abdul Gafar Abdurahiman, 43, atas 190 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16.63 juta, empat tahun lalu.

Otman diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 3:31am
d