mutakhir

Sekian lama banjir tak sudah

Oleh HM Digital

Seremban: “Belum sampai tiga bulan dah lima kali dilanda banjir kilat dengan yang terbaru berlaku semalam (kelmarin) dan masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama,” kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Anggerik, Senawang, Mohamad Rosli Jamil, 58.

Beliau antara lima keluarga yang menetap di Jalan 2 di taman berkenaan berdepan masalah banjir kilat setiap kali hujan.

Katanya, masalah itu berpunca daripada sistem perparitan yang cetek dan tidak mampu menampung limpahan air yang banyak.

Menurutnya, setiap kali hujan, kediamannya dan empat lagi keluarga di lorong sama antara yang menerima kesan apabila air daripada parit hadapan rumah mudah melimpah ke dalam rumah.

“Dalam kejadian hujan lebat petang semalam (kelmarin), air daripada parit berkenaan melimpah ke dalam rumah menyebabkan saya dan ahli keluarga terpaksa bertindak memindahkan barangan ke tempat tinggi.

“Walaupun hanya kira-kira 0.1 meter air memasuki rumah, tetapi ia tetap memberi masalah dan menyukarkan kami kerana terpaksa menyelamatkan barangan.

“Lebih membimbangkan ia boleh menjejaskan keselamatan penghuni rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohamad Rosli berkata, masalah itu dihadapinya lebih 10 tahun lalu kerana sistem perparitan dibina pemaju terlalu cetek yang menyebabkan air mudah naik.

Pesara tentera itu berkata, walaupun ada ketikanya air cepat surut namun ia tetap menyukarkan penduduk terbabit.

Menurutnya, penghuni rumah terbabit akan sentiasa bimbang setiap kali hujan kerana air mudah masuk ke dalam rumah.

“Kami pernah menyuarakan masalah ini kepada pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi belum ada tindakan yang berkesan dalam menanganinya.

“Penduduk (mangsa) akan sentiasa memberikan ruang dan kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini.

“Walaupun PBT pernah melakukan kerja menaik taraf parit besar di belakang taman ini sebagai langkah menangani banjir, tetapi masih terdapat segelintir penduduk yang masih berdepan masalah berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai permasalahan itu, Ahli Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Siti Harpah Mat Dom ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membawa masalah itu dalam mesyuarat penuh MPS, Isnin ini.

“Kami juga akan mendapatkan maklumat lanjut daripada KRT dan penduduk taman terbabit sebelum tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 4:29am
d