mutakhir

Terlepas tali gantung [METROTV]

Oleh Mohamed Basyir

Georgetown: Dua sahabat terlepas daripada hukuman gantung selepas mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang remaja lelaki, pada Januari 2015 lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes terbabit.

Kedua-dua tertuduh, V Ravinthiran, 31, dan N Liemeshwaran, 23, yang mendengar keputusan itu terus memeluk ahli keluarga masing-masing.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka dituduh membunuh Muneeswaran, 16, di kawasan parkir berhampiran Jalan Dr Lim Chwee Leong, antara jam 10 pagi hingga 7.40 malam, pada 21 Januari 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, satu-satunya bukti dikemukakan kepada pihak mahkamah adalah keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) ditemui pada kayu dan botol yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuh mangsa.

“Bagaimanapun, mahkamah mendapati bukti yang dikemukakan adalah tidak mencukupi. Justeru, mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Hamdzah Othman, manakala Ravinthiran diwakili peguam RSN Rayer dan Liemeshwaran diwakili peguam Rafael Abdullah.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 4:34am
d