mutakhir

'Model' geli-geli lelaki berada

Oleh Safeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: Import masuk pelayan wanita mirip model antarabangsa dari Russia dan Uzbekistan untuk menghiburkan lelaki tempatan.

Itu antara modus operandi pemilik pusat hiburan ‘orang kaya’ yang beroperasi sekitar Solaris, Mont Kiara di sini.

Kegiatan itu dibongkar susulan penahanan seramai 85 wanita warga asing dalam serbuan ke atas lima premis hiburan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan dibantu polis, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) pagi semalam.

Kesemua wanita ditahan itu termasuk warga Vietnam dan Thailand serta empat lelaki warga Bangladesh.

Serbuan diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Premis, Ahmad Tarmizi Baharom, itu dilakukan susulan maklumat dan aduan penduduk kediaman berhampiran berhubung masalah kesesakan serta bunyi bising dari premis hiburan berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail, berkata, pemeriksaan mendapati semua wanita terbabit memiliki pasport sah serta permit perjalanan yang belum tamat tempoh.

“Pihak Jabatan Imigresen kemudian menjalankan pemeriksaan susulan terhadap semua wanita terbabit selain empat lelaki Bangladesh yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

“Selain itu, pihak Kastam turut menyita lebih 200 botol arak selepas mendapati semua pemilik premis berkenaan tidak memiliki sebarang lesen untuk menjual minuman keras,” katanya.

Beliau berkata, pihak DBKL turut mengeluarkan notis amaran kepada pemilik premis berkenaan selepas didapati menjalankan aktiviti hiburan muzik, tanpa lesen dari pihak DBKL.

“Jika masih melakukan kesalahan sama, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk menyita semua premis hiburan berkenaan termasuk tidak membenarkan sebarang pengeluaran lesen hiburan.

“Pihak kami sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke masa terhadap kawasan ini selain mengambil tindakan terhadap aduan penduduk di kawasan berhampiran,” katanya.

“Setiap tindakan bahagian penguatkuasaan memerlukan bukti kukuh sebelum sesuatu tindakan diambil namun mereka (Jabatan Imigresen) lebih arif dari segi tindakan dan undang-undang yang dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 4:39am
d