mutakhir

Padah lawan arus [METROTV]

Oleh Junaidi Ladjana

TINDAKAN lelaki memandu melawan arus mengundang padah apabila maut selepas keretanya bertembung dengan van di Jalan Tuaran By Pass berdekatan restoran makanan segera, di Kota Kinabalu, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, pemandu Toyota Vios, Yong Yuk Ken, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada badan.

Pemandu van berusia 44 tahun pula patah kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizebath 2 (HQE 2) manakala dua penumpang tidak mengalami kecederaan.

Kejadian itu turut dirakam melalui video pada kenderaan lain di mana rakaman berdurasi satu minit 24 saat menunjukkan Toyota Vios dari arah Inanam menghala ke Manggatal.

Dalam rakaman itu, pemandu itu dipercayai melawan arus dari Simpang Kalansanan dan beberapa kenderaan termasuk lori dan bas ekspres mengelak daripada melanggar keretanya.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki terbabit dilihat gagal mengelak lalu bertembung dengan van yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios dipandu lelaki dipercayai melawan arus lalu melanggar van dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pemandu Toyota Vios yang maut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Mangsa yang parah di bawa ke HQE 2 menggunakan EMRS untuk mendapat rawatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 10:43am
d