mutakhir

[UPDATE] Pemburu haram didakwa [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Lenggong atas dua pertuduhan memiliki senapang patah buatan sendiri dan 34 butir peluru hidup 12 Bore, 11 Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Roslan Baharom, 50, yang sebelum ini ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemburuan haram membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Roslan didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri di rumah beralamat 42, Kampung Padang Jeri, Gerik, pada 12 tengah hari, 11 Mac lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki 34 butir peluru hidup 12 bore di rumah beralamat Lot 1907, Perumahan Mesra Rakyat, Kampung Air Pulau, Gerik, 2 petang, pada tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Azfar Mahmod manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Azfar memohon mahkamah supaya kes itu disebut semula bagi menunggu laporan senjata api dan balistik peluru serta tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Raja Shahril Anuar kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan kes akan disebut semula 30 April ini.

NSTP sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 20 ekor gajah di hutan sekitar daerah ini dipercayai sudah dibunuh sindiket pemburu haram profesional didalangi empat lelaki, sejak sembilan tahun lalu.

Empat suspek ditahan dalam satu operasi dijalankan polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bermula 10 hingga 12 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dalam sidang medianya pada 13 Mac lalu berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan memburu dan menjual hasil hidupan liar seperti gading gajah, harimau dan rusa.

Katanya, kumpulan itu dipercayai sudah memperoleh hasil cukup lumayan sepanjang sembilan tahun menjalankan kegiatan pemburuan haram ini dan sehingga kini anggaran hasil diperoleh mereka mencecah RM800,000.

Menurutnya, hasil penahanan kesemua suspek itu, polis merampas dua senapang patah buatan sendiri, satu senapang Colt 5.56, satu Rifle .458, lima laras barel buatan sendiri, 255 peluru pelbagai jenis, dua kelopak peluru M16 dan pelbagai jenis senjata tajam dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka.

Berita berkaitan

Empat lelaki ditahan, senapang dirampas

[UPDATE] Pemburu bunuh 20 gajah

[UPDATE] PERHILITAN waspada tangani pemburu haram

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:04pm
d