mutakhir

[UPDATE] Operasi SAR kritikal

Oleh Badrul Kamal Zakaria dan Mohamad Fahd Rahmat

PASUKAN penyelam memeriksa hampir 70 peratus bilik penginapan kru dan bahagian enjin kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, namun masih gagal mengesan kedudukan sebenar mangsa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan, Datuk Abu Bakar Idris berkata, pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) menambah lima penyelam daripada KD Mahameru menjadikan keseluruhan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seramai 28 orang.

Menurutnya, tambahan itu bagi melancarkan SAR memasuki hari ketiga bermula awal pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat menemui petunjuk baru sekaligus menyelamatkan semua mangsa, namun mengakui situasi hari ketiga semakin kritikal.

“Kita tambah lima lagi penyelam daripada KD Mahameru dan menyelam di dalam kapal empat tingkat itu, semua penyelam memeriksa dasar ruangan di belakang, di depan yang menempatkan kargo (pasir) dan bahagian jentera di bawah.

“Hari ini penyelam percaya mereka masih berada di bilik jentera dan melaksanakan operasi penyelaman lebih agresif di kawasan berkenaan.

“Lapan penyelam berganti-ganti hingga pagi menggunakan kamera, pada masa sama kita masih menarik kapal ke kedudukan satu hingga dua batu nautika dari pinggir pantai,” katanya pada sidang media di pusat SAR di Pantai Leka, Parit Jawa di sini, hari ini.

Beliau berkata, pagi ini dua penyelam mendengar bunyi ketukan sekaligus memberi harapan ada mangsa masih selamat.

“Penyelam sudah banyak kali masuk tetapi masih gagal mengesan mereka dan kami berdoa kita dapat jumpa sesuatu hari ini.

“Sejak pagi ada bunyi ketukan dan percaya mereka masih ada, jika ada yang berpenyakit ketika ini mereka pastinya sudah lemah, sebab itu paramedik berada di lokasi untuk rawatan awal.

“Pagi ini kami membuat keputusan untuk menyelam dan dalam masa sama kita ada penyelam tambahan daripada KD Mahameru manakala Maritim Malaysia laksanakan pencarian udara,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya masih gagal mencari dan mengeluarkan mangsa yang masih hidup, pihaknya akan melaksanakan pilihan ketiga iaitu menebuk dinding kapal.

“Pagi tadi kita melaksanakan perbincangan khusus memandangkan pilihan ini risikonya agak tinggi dan memerlukan nasihat jurutera kapal terbabit di mana kita akan melaksanakan operasi menyelamat,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan selepas lebih 38 jam kapal korek, JBB Rong Chang 8, terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, nasib seramai 14 mangsa yang terperangkap terus menjadi tanda tanya.

Berita berkaitan

'Berharap ada sinar hari ini'

Tunda kapal korek ke permukaan cetek [METROTV]

Semoga Aca selamat [METROTV]

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang [METROTV]

1 lemas, 14 hilang

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:31pm
d