mutakhir

Sekejap je dah kena cekup...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI ditahan anggota polis selepas cuba meragut rantai leher wanita Indonesia di Jalan SS 9A/2, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan di lokasi kejadian kira-kira 6 petang, mereka melihat seorang lelaki menaiki motosikal Honda Ex5 dalam keadaan kelam kabut keluar dari simpang Jalan SS 9A/6 menghala ke Jalan SS 9A/2 secara melulu.

“Ketika keluar dari simpang jalan, motosikal itu berlanggar dengan kereta Peugeot dinaiki wanita menyebabkan lelaki terbabit dengan motosikalnya terbabit tercampak ke tepi jalan.

“Anggota polis bertugas pergi ke arah lelaki berkenaan sebelum tiga wanita warga Indonesia memberitahu lelaki terbabit cuba meragut rantai leher seorang daripada mereka.

“Saksi kejadian yang mengejar suspek turut memberitahu suspek melarikan diri dalam keadaan kelam kabut hingga mengakibatkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, pemeriksaan terhadap motosikal dinaiki suspek berusia 37 tahun berkenaan mendapati banyak kerosakan akibat kemalangan itu, manakala kereta Peugeot mengalami kerosakan di bahagian bonet dan bumper hadapan.

“Suspek juga mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri akibat kemalangan itu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, manakala motosikal terbabit didapati tiada rekod dilaporkan sebagai kenderaan hilang,” katanya yang memaklumkan suspek dan motosikal berkenaan di bawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:54pm
d