mutakhir

MBW 2018 dibuka

Oleh Lizam Ridzuan

MINGGU Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week (MBW 2018) yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang Selangor mula dibanjiri pengunjung sebaik dewan pameran dibuka, 10 pagi tadi.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata yang hadir adalah daripada peminat dunia permotoran serta keluarga yang mengambil kesempatan membawa anak-anak bersempena cuti persekolahan.

Seorang daripada pengunjung Jamizah Hassan, 36, yang juga suri rumah berkata, dia dan suami mengetahui acara ini melalui media sosial dan teruja untuk melihat koleksi kenderaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang pertama kali dipertontonkan kepada orang ramai.

“Pameran motosikal terkini daripada pelbagai jenama serta pembabitan agensi kerajaan dan swasta dalam mempromosikan produk, menjadikan MBW 2018 bukan sahaja sesuai di kalangan ‘bikers’ malah untuk seisi keluarga juga,” katanya yang tinggal di Bangi, Selangor.

MBW 2018 anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) diadakan bermula hari ini hingga Ahad dan dijangka dihadiri seramai 100,000 ribu peminat dunia permotoran dari seluruh negara.

Pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung bernilai lebih RM500,000 antaranya ialah 40 buah motosikal Yamaha Y15ZR dan Benelli RFS 150i bakal dimenangi setiap satu.

Pengunjung hanya perlu membeli baju-T MBW berharga RM35 dan akan diberi satu kupon untuk melayakkan memenangi cabutan bertuah yang ditawarkan.

Sultan Johor dijangka berkenan menyempurnakan perasmian MBW 2018 pada Sabtu ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 1:48pm
d