mutakhir

Tolong cari Mohammad Hafiz

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENUNTUT kolej swasta dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewa di sebuah di Seksyen 16, Shah Alam, semalam.

Menurut ibu mangsa, Noorliah Kasbulah, 48, dia hanya mengetahui anak lelakinya, Mohammad Hafiz Ismail, 24, hilang sebaik dimaklumkan teman wanita anaknya bahawa Mohammad Hafiz tidak dapat dihubungi selepas keluar ke pasar malam bersama seorang rakan kira-kira 12 tengah malam.

Katanya, Mohammad Hafiz ada menghubungi teman wanitanya dan memaklumkan dia keluar bersama rakannya yang dikenali sebagai Wan ke pasar malam dengan menaiki kereta Perodua Axia miliknya pada 12.48 tengah malam.

“Bagaimanapun, selepas beberapa jam keluar ke pasar malam, teman wanitanya gagal menghubunginya sebelum dia memaklumkan perkara itu kepada saya semalam.

“Kami juga ada menghubunginya, namun gagal kerana telefon bimbitnya sudah dimatikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noorliah berkata, dia juga ada cuba untuk mendapatkan maklumat mengenai rakan anak lelakinya yang dikenali sebagai Wan itu, namun masih tidak berjaya.

“Saya hanya pernah berjumpa dengan Wan sekali, namun tidak mengecam wajahnya kerana perjumpaan kami pada waktu malam.

“Muhammad Hafiz sebelum ini memaklumkan rakannya itu bekerja sebagai pembantu kedai makan berhampiran rumah sewanya dan menganggap lelaki itu seperti abang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, semalam.

Katanya, Muhammad Hafiz tidak pernah bertindak sedemikian dan akan memaklumkan segala aktiviti dilakukan kepada ahli keluarga.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada Ahad lalu ketika pergi ke kenduri sebelum dia balik ke rumah sewanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Hafiz mohon tampil di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Pada masa ini, siasatan dijalankan sebagai laporan orang hilang,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 3:54pm
d