mutakhir

JAIP kaunseling pelajar pusat tahfiz

Oleh Asrol Awang

JABATAN Agama Islam Pahang (JAIP) akan memberi kaunseling kepada pelajar sebuah pusat tahfiz di Kuantan yang diliwat dan diganggu secara seksual oleh seorang sukarelawan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, kaunseling itu akan dilakukan sebaik pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan termasuk pemeriksaan perubatan.

Katanya, difahamkan, kesemua pelajar terbabit perlu memberi keterangan kepada pihak polis untuk melengkapkan kes.

"Sebenarnya, sebaik kes itu terbongkar, kami cuba untuk memberi kaunseling kepada pelajar terbabit.

"Tapi, pengurusan pusat tahfiz memberikan cuti selama dua minggu kepada semua pelajar. Oleh itu, kita mengambil keputusan untuk memberi kaunseling sebaik segala urusan berkaitan pihak berkuasa selesai," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan penahanan seorang sukarelawan yang ditahan pada 12 Mac lalu, selepas tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Suspek berumur 41 tahun itu yang juga bekerja sendiri dikatakan aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian di pusat tahfiz berkenaan sejak 2015.

Semalam, sukarelawan terbabit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan terhadap 38 tuduhan melakukan gangguan seksual dan meliwat terhadap 10 pelajar lelaki sebuah pusat tahfiz, sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nasrul Arman Ahmad, meminta dibicarakan di hadapan, Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan terhadap 10 pelajar lelaki berusia 12 hingga 17 tahun dari Julai 2017 hingga Februari lalu.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 4:19pm
d