mutakhir

PR1MA tawar 600,000 kediaman [METROTV]

Oleh Siti Salmiah A Hamid dan Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

Kuala Lumpur: Pengunjung bertuah berpeluang memenangi hadiah utama, rumah tajaan Perbadanan Perumahan Rakyat 1MAlaysia (PR1MA) apabila mengunjungi Ekspo Jualan Perumahan - Ke Arah Sejuta Impian yang berlangsung hari ini sehingga 1 April depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Rumah apartmen berkenaan masing-masing terletak di Alam Damai, Cheras dan Kajang bernilai RM240,000 dan RM288,000 dengan keluasan 660 meter persegi sehingga 1,048 meter persegi.

Ketua Pegawai Esekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, lebih 600,000 rumah daripada pelbagai agensi kerajaan bakal ditawarkan kepada orang ramai yang mencari rumah idaman.

“Daripada jumlah itu, lebih 267,640 PR1MA dipamerkan yang 60 peratus berharga kurang daripada RM300,000.

“Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula menawarkan 50,030 unit kediaman, Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) (51,173 unit), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) (141,774 unit) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) (99,974 unit),” katanya, semalam.

Katanya, ekspo berkenaan berfungsi sebagai pusat sehenti terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) yang masih belum memiliki rumah kediaman.

“Ekspo terbesar di negara ini adalah bukti kesungguhan kerajaan melalui agensinya untuk menggalakkan pemilikan rumah bagi rakyat daripada pelbagai kumpulan pendapatan,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Datuk Amiruddin Abdul Manaf dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perumahan Negara, Hafiznizam Hashim.

Selain itu, pengunjung bertuah berpeluang memenangi kereta Perodua Myvi, motosikal, kelengkapan rumah dan baucar percutian sepanjang ekspo berlangsung.

Cabutan bertuah harian diadakan tiga kali setiap hari manakala cabutan bagi hadiah utama pada setiap Sabtu dan Ahad iaitu 24, 25, 31 Mac dan April.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 4:28am
d