mutakhir

Kaji tambah tempat penuntut India [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KERAJAAN sedang mengkaji untuk menambah bilangan tempat dan bidang pengajian baru bagi pelajar kaum India di universiti awam termasuk matrikulasi pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kajian itu penting bagi mencapai sasaran kemasukan pelajar India ke universiti dan Matrikulasi sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada keseluruhan tempat di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Beliau berkata, buat masa ini, sasaran tujuh peratus itu belum dapat dipenuhi dan dicapai.

"Justeru, beberapa pertolongan khas serta campur tangan pihak tertentu akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran berkenaan," katanya pada program ramah mesra bersama Yayasan my NADI di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Pengerusi my NADI Datuk Dr S Jeyaindran.

Sasaran tujuh peratus penyertaan pelajar India ke universiti, kolej dan politeknik adalah antara agenda utama yang digariskan dalam Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dilancarkan tahun lalu.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan juga akan umumkan skim pelaburan khas bagi kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) kaum India pada 7 April ini.

Menurutnya, beliau menjangkakan 100,000 isi rumah kaum India akan menyertai skim yang dikenali sebagai Amanah Saham 1Malaysia.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 11:52am
d