mutakhir

MBW 2018 dibanjiri 'bikers' [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

DERUMAN motosikal daripada pelbagai jenis dan kapasiti enjin mula membanjiri Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor, hari ini sempena Minggu Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week (MBW 2018).

Bermula semalam hingga esok pelbagai acara menarik dilangsungkan seperti promosi produk, ceramah daripada pakar permotoran, pertandingan tunggangan selamat dan banyak lagi.

Antara yang menarik perhatian koleksi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar seperti motosikal Harley-Davidson, trak Mack dan kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam Kembara Mahkota Johor turut dipamerkan.

MBW 2018 anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) dijangka dihadiri seramai 100,000 ribu peminat dunia permotoran dari seluruh negara.

Pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung bernilai lebih RM500,000 antaranya ialah 40 buah motosikal Yamaha Y15ZR dan Benelli RFS 150i bakal dimenangi setiap satu.

Malam ini juga bakal dilangsungkan Konsert Rock Mentor di pentas utama bermula jam 9 malam membabitkan artis popular tanah air seperti Ella, Datuk Awie, Black, Azlan Typewriter dan Akim & The Majistret.

Sultan Johor dijangka berkenan menyempurnakan perasmian MBW 2018 pada petang ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 4:12pm
d