mutakhir

Bumbung terbang akibat ribut [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

“Dalam tempoh lima minit, habis bumbung rumah diterbangkan angin,” kata Mohd Jeffery Awang, 43, mengulas mengenai ribut di Kepala Batas, semalam.

Kejadian berlaku pada 5.15 petang menyebabkan 12 rumah dan stor penduduk Kampung Guar Kepah, terjejas.

Menurut Mohd Jeffery, ketika kejadian itu, dia berada di rumahnya bersama ibu.

“Saya sepatutnya keluar ke kedai adik, namun tangguhkan seketika kerana cuaca tidak elok. Tidak lama selepas itu, angin kencang dan hujan lebat, menerbangkan bumbung rumah.

“Malah ia berlaku sekelip mata. Mujur saya tidak keluar rumah lagi dan sempat menyelamatkan ibu serta pindahkan dia ke tempat lain,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagi penduduk Zambri Che Omar, 40, ribut itu bukan kejadian pertama dihadapi mereka, namun penduduk bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa mahupun sebarang kecederaan.

Katanya, rata-rata penduduk berada di rumah masing-masing ketika kejadian itu dan ribut bermula selepas Asar.

“Syukur ia tidak terlalu serius dan paling penting, tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hujan lebat disusuli angin kencang menyebabkan rumah penduduk rosak dan atap tercabut.

“Kejadian berlaku dalam tempoh tiga jam dan 56 mangsa terjejas,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 5:03pm
d