mutakhir

Dua maut, seorang cedera

Oleh Ramli Ibrahim

DUA maut, seorang parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 70 Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Hendrop, Gua Musang, 4.30 pagi, hari ini.

Mereka yang maut adalah pemandu kereta, S Paramasivam, 33, berasal dari Kampung Raja, Cameron Highlands dan seorang wanita duduk di tempat duduk belakang yang belum diketahui identitinya.

Penumpang tempat duduk hadapan, Sharif Sayid Ahmad, 38, parah dan dirawat di Hospital Gua Musang (HGM).

 Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol, gagal mengawal kenderaan dan merempuh pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi parah di kepala dan badan.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

 Mohd Taufik berkata, mangsa yang cedera dihantar ke HGM dan keadaannya dilapor stabil, manakala mangsa maut turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gambar Ihsan bomba

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 6:39pm
d