mutakhir

1MPAK dinamik

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) dalam siri jelajahnya di Pantai Dalam di sini, semalam mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk setempat.

Menjadi lokasi ke-21 dikunjungi 1MPAK, warga Parlimen Lembah Pantai tanpa mengira kaum dan usia terutama generasi muda tidak melepaskan peluang mendapatkan kemudahan dan perkhidmatan disediakan.

Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, program itu yang menyediakan pelbagai perkhidmatan sangat bermakna kepada penduduk khususnya golongan muda.

“Alhamdulillah sambutan memberangsangkan. Pelbagai program diadakan. Tetapi yang paling penting perkhidmatan diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah naungan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“MARA agensi penting yang berbakti kepada rakyat. Ramai yang berjaya seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar (Pengerusi Permodalan Nasional Bhd).

“Selain itu, MARA banyak memberi bimbingan kepada anak kita, pinjaman untuk belajar, seterusnya program kerja,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini.

Turut hadir Pengarah MARA Wilayah Persekutuan, Raja Sarimah Raja Jamaluddin.

Pada majlis itu, Raja Nong Chik turut menyampaikan kemudahan pembiayaan perniagaan MARA yang diluluskan dan kunci premis kepada usahawan tempatan terpilih.

Program 1MPAK adalah kesinambungan usaha MARA dalam menerajui agenda pembangunan Bumiputera dengan pendekatan baru yang lebih dinamik.

Ia membawa semua inisiatif yang dihimpunkan pada empat fokus utama membabitkan pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan tanggungjawab korporat sosial secara terus kepada akar umbi.

Dalam program kali ini, MARA turut melunaskan tanggungjawab sosialnya dengan menawarkan perkhidmatan menyelenggara minyak hitam motosikal, khidmat memotong rambut, tatarias kuku dan fotografi pasport secara percuma.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 5:50am
d