mutakhir

Drama lego penuh emosi

Oleh Siti Khairunnisa Mohamad Nayan

Kuala Lumpur: Hobinya bukan sekadar mengumpul, sebaliknya Muhammad Khalid Kaswadi, 23, menggunakan imaginasi dan kreativiti untuk menghidupkan setiap watak minifigure lego dibelinya dengan susunan unik serta menarik.

Cara blok plastik itu disusun juga mempunyai penceritaan atau tema tersendiri, bagi mendapatkan hasil terbaik Muhammad Khalid, turut melakukan sedikit pengubahsuaian dan menambah props seperti rumah, pokok plastik atau kenderaan permainan bersesuaian.

Pemuda yang obses dengan hobi itu berkata, dia berada dalam dunianya sendiri dan tidak menghiraukan perkara lain kerana mahu fokus menyusun minifigure lego mengikut tema atau penceritaan mahu disampaikan.

Berikutan itu dia tidak kisah menghabiskan dua hingga tiga jam masa lapangnya untuk menyusun minifigure lego berkenaan kerana ia memberikan kepuasan dalam dirinya.

Muhammad Khalid berkata, setakat ini dia memiliki 250 pelbagai watak minifigure lego antaranya stormtrooper daripada filem Star Wars, Spiderman, Batman dan Mr Bean dengan semuanya dianggarkan bernilai RM7,000.

“Tahap obses saya terhadap minifigure lego ini membuatkan saya sanggup menahan lapar semata-mata mahu mengumpul wang untuk memiliki minifigure lego yang diidamkan.

“Ternyata hobi ini memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila saya dapat menterjamahkan idea serta kreativiti dan bukan sekadar berimaginasi.

“Lebih menarik lagi apabila saya dapat lakonkan semula lego dalam dunia mereka berpandukan filem atau drama yang ditonton, malah ada juga daripada pengalaman sendiri,” katanya.

Dia yang berasal dari Muar, Johor berkata, mungkin ramai berpandangan lego hanya blok plastik atau permainan, namun baginya setiap minifigure lego itu hidup dalam dunia mereka sendiri.

Pada pendapatnya, setiap minifigure lego berkenaan mempunyai sifat dan tujuan dalam hidup contoh diberikan adalah watak Mr Bean yang suka pada cabaran dalam hidup.

“Berikutan itu saya susun blok plastik berkenaan mengikut imaginasi. Jika keluar bersiar-siar saya bawa bersama dua atau tiga minifigure. Kalau terjumpa pemandangan cantik saya akan susun dan ambil gambar.

“Kemudian saya memuat naik gambar itu ke akaun Instagram kerana mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka mempunyai karakter tersendiri dan bukan sekadar barang pameran yang membosankan,” katanya.

Menurutnya, minat itu bermula lima tahun lalu ketika menuntut di kolej matrikulasi dengan minifigure Batman menjadi lego pertama dibeli kerana mahu melepaskan tekanan belajar.

Katanya, kekangan wang ketika itu menyebabkan dia tepaksa memilih produk tiruan namun selepas melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) Muhammad Khalid, mula beralih kepada produk diedarkan pengeluar sah.

“Memang ada perbezaan ketara kerana produk asli lebih memberikan kepuasan berbanding yang tiruan. Sejak itu, saya mula mengumpul wang untuk membeli lego yang harganya lebih mahal termasuk watak Darth Vader dibeli pada harga RM80,” katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahagian Drama & Teater Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, kreativitinya bukan hanya menarik perhatian netizen, tetapi beberapa syarikat besar.

“Syukur bukan saja mendapat perhatian malah rasa bangga kerana dapat bekerjasama dengan Fixi dan Lejen Press untuk menjayakan projek Pesta Buku Antarabangsa 2015 yang lalu,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 7:42am
d