mutakhir

Jasa dua dekad JSJN

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Pengalaman hampir 22 tahun menjadi penanda aras kemampuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk terus ‘berjihad’ memerangi ancaman dadah yang terus dianggap musuh nombor satu negara.

Ditubuhkan dengan misi memerangi dadah berbahaya, JSJN berperanan menguatkuasa undang-undang untuk menyekat dan mengurangkan permintaan bekalan dadah selaras dengan saranan kerajaan.

Selama lebih dua dekad, JSJN yang dahulunya dikenali sebagai Cawangan Anti Dadah di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), menyelusuri pelbagai peringkat perubahan.

Pada fasa pertama, cawangan itu disusun semula menjadi jabatan khas dikenali sebagai Jabatan Narkotik (JN) pada 1996.

Fasa perubahan seterusnya berlaku pada 26 Mei 2005 apabila JN dijenamakan semula menjadi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan kekal gah sehingga ke hari ini sebagai sebuah jabatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata selama dua dekad memerangi dadah di negara ini, warga JSJN memberikan sepenuh komitmen, tenaga, masa selain mengenepikan kepentingan diri sendiri dalam usaha meyakinkan masyarakat berhubung peranan jabatan itu.

“Kita mahu masyarakat terus yakin bahawa JSJN masih dan selamanya kekal relevan dalam memainkan peranannya sebagai agensi penguatkuasaan dadah utama negara.

“Justeru JSJN mempertingkat risikan dan operasi yang menghasilkan kejayaan berimpak tinggi melalui operasi terancang yang dijalankan sehingga menghasilkan tangkapan dan rampasan berkualiti,” katanya dalam sidang media khas Dua Dekad Pencapaian JSJN Membanteras Dadah, Jumaat lalu sempena Hari Polis ke-211 yang disambut hari ini.

Mohmad berkata, JSJN sentiasa bersiap sedia untuk menjalankan tugas di tahap tertinggi dan hasilnya, untuk tempoh dua dekad lalu secara keseluruhannya JSJN sudah berjaya merampas 10,000 tan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion.

“Rampasan membabitkan 264,914 kilogram (kg) dadah dalam bentuk ketulan dan serbuk, 36 juta biji dadah dalam bentuk pil serta 1 juta liter dadah cecair,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 7:48am
d