mutakhir

Alamak, cramp pula...

Oleh Amrullah Abdul Karim

“BADANNYA tiba-tiba kejang macam kena sawan dan terus rebah ke kanan lalu pengsan. Keadaan itu menyebabkan bahu dan tangan kanannya cedera," kata Zulhelmi Jamil, 21, menceritakan detik rakannya, Muhammad Akid Muhammad Ali, 21, yang cedera ketika mendaki Bukit Dua Ringgit, Bukit Beruntung, pagi tadi.

Menurut Zulhelmi, mereka berdua mendaki bukit setinggi 250 meter itu 7.50 pagi dan sampai di puncak 30 minit kemudian.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad Akid tiba-tiba mengalami kekejangan di seluruh badannya dan terus tumbang ke tanah.

"Masa itu memang kami sudah sampai puncak dan lepas dia jatuh, kami rehat sekejap sebelum cuba turun perlahan-lahan.

"Tetapi keadaan Akid tak stabil, sebab itu saya minta bantuan sebelum seorang pendaki hubungi talian kecemasan 999," katanya ketika ditemui di kaki bukit tersebut.

Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Ali Yatim, 51, berkata, dia dihubungi rakan anaknya 9.30 pagi tadi memaklumkan kejadian menimpa Akid.

Menurutnya, punca anaknya kekejangan otot itu disebabkan tidak mengambil sarapan sebelum mendaki.

"Dia memang selalu mendaki tapi kali ini dia tak ambil sarapan.

"Saya pernah pesan walaupun apa kerja kita nak buat sarapan perlu diambil untuk tenaga.

"Tetapi sudah memang nasib menimpa dia begitu hari ini di atas bukit," katanya.

Sementara itu, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan 9.20 pagi tadi.

Mangsa telah diberi rawatan kecemasan di puncak bukit sebelum dibawa turun dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 5:54pm
d