mutakhir

Tengku Djan ungguli TGR musim pertama

Oleh Mohd Razlan Salleh

SAINGAN Vios Challenge menyaksikan pelumba Team Nanoplus Tengku Djan Tengku Mahaleel dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim pertama Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) di Taman Teknologi Park (TPM), Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang mengungguli kategori Super Sporting sejak pusingan pertama menewaskan pesaing Ho Wil Liam, manakala Wong Yew Choong dari pasukan ST Wangan Racing Team menduduki tempat ketiga.

Dalam kategori Promotional pula, Shawn Lee kekal juara keseluruhan menewaskan Shukri Yahaya, sementara Danny Khoo berada di tempat ketiga.

Kategori berkenaan turut disertai selebriti lain seperti Janna Nick, Fattah Amin, Diana Danielle, Geraldine Gan dan Venice Min.

Pelumba pasukan Dream Chaser, Brendan Paul Anthony mencatat nama sebagai pemenang musim pertama kategori Sporting, menewaskan Brandon Lim Boon Yew dan Kenneth Koh Keik Lun.

Shawn Lee ketika ditemui, mengucapkan terima kasih kepada UMW Toyota Motor kerana memberi peluang kepadanya untuk berlumba.

“Saya memang mahu menjadi seorang pelumba, dan UMW Toyota Motor merealisasikan impian saya selama ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit terutama pelumba selebriti sepanjang perlumbaan Vios Challenge musim pertama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shukri turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penganjur.

Sementara itu, Tengku Djan berkata, walaupun gagal meraih kedudukan podium pada perlumbaan pusingan pertama, kegagalan berkenaan ditebus dengan kemenangan podium pada perlumbaan kedua.

“Ketika mendahului pada pusingan kedua, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

“Berbanding pusingan pertama, saya lebih yakin ketika perlumbaan pusingan kedua,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 8:36pm
d