mutakhir

Terap didikan agama sejak kecil

Oleh Shahrinnahar Latib

Pekan: Golongan remaja perlu diterap didikan agama sejak kecil bagi mengelak mereka terjerumus ke dalam gejala sosial yang merosakkan diri.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, sekiranya golongan berkenaan berpegang teguh pada nilai agama, ia dapat mengelak berlakunya gejala negatif kepada mereka.

“Didikan agama ini penting sebagai benteng kepada mereka, jadi ibu bapa perlu bertegas dalam hal ini. Biar mereka menangis, jangan kita yang menangis disebabkan perbuatan mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan merasmikan Majlis Perasmian Program Khidmat Masyarakat Kumpulan Penyelidikan Maternofetal Embryo@Mate2u di Universiti DRB-Hicom di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor universiti itu, Prof Datuk Seri Dr Omar Osman dan Pengarah Program Mate2U, Prof Dr Nor Ashikin Mohamed Noor Khan.

Baginda bertitah, ledakan teknologi maklumat dan Internet kini membuatkan segala bentuk maklumat dihujung jari yang kadang kala merosakkan golongan remaja.

“Amat menyedihkan apabila ramai remaja leka dengan penggunaan Internet dan sibuk dengan pelbagai media sosial sehingga ada antara mereka yang mengalami ketagihan pornografi.

“Masalah sebegini sebenarnya menjadi kerisauan saya apabila banyak kes hubungan seks luar perkahwinan, sumbang mahram, remaja mengandung pada usia remaja dan jenayah seksual yang berlaku dalam kalangan mereka ini,” titah baginda.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 3:39am
d