mutakhir

Suri rumah dijel 8 bulan hina Yang di-Pertuan Agong

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, April tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Shamsiah Samsuddin, 44, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa menerusi Facebook Tengku Cik Puan Muda Shamsiah menghantar komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati orang lain, jam 5.31 petang, pada 25 April 2017.

Kenyataan itu didakwa dibaca pada 26 April 2017 di Pejabat Sentosa Jaya, Jalan Padang Bongor, Pengkalan Chepa di sini, pada jam 2.11 petang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 bagi kesalahan berulang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadapnya dengan alasan anaknya masih bersekolah.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 3:47am
d