mutakhir

PDRM cemerlang

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuala Lumpur: Hasil pemantauan rapi dan risikan keselamatan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kepada penahanan 389 individu disyaki terbabit elemen Daish sejak 2013.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, jumlah itu termasuk penangkapan terbaru membabitkan enam rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina dalam operasi dijalankan pada 27 Februari dan 15 Mac lalu.

“Suspek rakyat Malaysia itu ditahan selepas disyaki merancang serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh anggota polis.

“Suspek warga Filipina pula adalah individu dikehendaki pihak berkuasa negara itu kerana terbabit kes penculikan untuk tebusan serta beberapa cubaan bunuh,” katanya ketika berucap dalam Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 2018 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Mohamad Fuzi berkata, PDRM turut berjaya mengekalkan kecemerlangan pasukan dengan penurunan jenayah indeks sebanyak 13,186 kes atau 11.7 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

“Jenayah kekerasan menurun 960 kes atau 4.3 peratus dan jenayah harta-benda menurun sebanyak 12,226 kes atau 13.6 peratus.

“Berlandaskan nilai ambang ditetapkan bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lalu, jenayah indeks menunjukkan pengurangan 9.7 peratus manakala jenayah kekerasan berkurangan 16.2 peratus dan jenayah harta-benda menurun 7.9 peratus,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 3:54am
d