mutakhir

Belaian angin timur

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

Kangar: Penganjuran Pesta Angin Timur (PAT) di negeri ini bakal menjadi acara pembukaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata, sehubungan itu pihaknya melakukan persediaan terbaik dalam dua tahun ini bagi memastikan PAT2020 lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Kami berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) atas pengiktirafan ini secara tidak langsung menyuntik semangat rakyat negeri ini melakukan persediaan awal.

“PAT2020 dianjurkan dalam skala lebih besar berbanding tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pembukaan PAT2018 di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Rashidi Hasbullah serta Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli.

Azlan berkata, pihaknya bercadang melanjutkan tempoh program PAT daripada tiga kepada lima hari pada penganjuran akan datang.

“Ini bagi memastikan kemeriahan PAT dapat dinikmati lebih lama dan memberi kepuasan kepada pengunjung dari dalam mahupun luar Perlis.

“Langkah ini diambil selepas melihat penerimaan sambutan hebat setiap kali PAT diadakan, selain boleh membantu peniaga terbabit meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

PAT2018 yang berlangsung tiga hari berakhir semalam di tapak Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Persiaran Wawasan di sini, berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung.

Sementara itu, Pengarah JKKN Perlis Rahmat Md Noh berkata, PAT anjuran bersama MOTAC serta kerajaan negeri mencerminkan kehidupan dan kebudayaan rakyat Perlis.

“Program ini dinamakan sempena peredaran musim sejuk ke musim panas, memberi peluang untuk pengunjung mengenali keunikan cara hidup petani di utara Semenanjung yang diterjemahkan melalui aktiviti di bendang.

“Penganjuran kali ini mengetengahkan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan pembabitan 60 agensi meliputi kerajaan, swasta, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan yang mampu memberi impak besar ke arah kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tahun ini, lebih 25 aktiviti berkonsep pertandingan dan sukan rakyat diadakan, antara lain Pertandingan Badang Bendang, Sukan Motor Lasak Bendang, Dodge Ball serta pertandingan membuat Wau Kemetek.

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mempamerkan asetnya yang jarang disaksikan secara dekat oleh pengunjung.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 4:15am
d