mutakhir

Cabaran Low's Gully

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

Kota Kinabalu: Seramai empat pendaki Jepun memulakan cabaran Ekspedisi Low’s Gully bagi menawan puncak Gunung Kinabalu melalui laluan mencabar dari Kota Belud dengan tempoh pendakian mengambil masa seminggu bermula semalam.

Empat pendaki terbabit ialah Naruse Yoichi, Sato Yusuke, Tanaka Satoru dan Kobayashi. Mereka memulakan cabaran berkenaan dari Kampung Malangkap Tomis, Kota Belud menyusuri Sungai Panataran menuju ke Low’s Gully dan Low’s Peak dengan ketinggian 4,092.5 meter.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais berkata, jika pendakian ekspedisi itu berjalan lancar, semua pendaki dijadualkan tiba di Pondok Timpohon, Taman Kinabalu pada 29 atau 30 Mac ini.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan yang pertama melakukan pendakian ke Low’s Gully dari kawasan Kota Belud melalui Sungai Panataran untuk ke puncak sebelum turun menggunakan laluan biasa ke Taman Kinabalu, di Kundasang, Ranau.

“Ekspedisi kali ini sangat menarik kerana sejak Gunung Kinabalu diwartakan sebagai kawasan taman pada 1964, belum pernah pendakian ke Low’s Gully dilakukan bermula dari kawasan Kota Belud melalui Panataran menuju ke Low’s Gully,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata pendakian ekspedisi Low’s Gully yang pertama dilakukan pada 1994 oleh 10 tentera British, tetapi tidak berjaya.

Katanya, pada 1998, satu lagi ekspedisi dilancarkan iaitu Ekspedisi Bersama Malaysia-British membabitkan 12 pendaki yang diketuai Renjer Kanan Taman-Taman Sabah, Martin Moguring dan John Sangkig.

“Kumpulan berkenaan menamatkan ekspedisi itu dan ia membuka laluan kepada pendakian ekspedisi Low’s Gully seterusnya.

“Bagi kumpulan pendaki Jepun ini, jika mereka berjaya dalam ekspedisi Panataran-Low’s Gully, Gunung Kinabalu, ia membuka lembaran baru sejarah bagi pendakian Gunung Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah keselamatan, Taman-Taman Sabah membuat pemantauan di laluan ekspedisi yang ditentukan termasuk pemantauan dari udara.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 4:31am
d