mutakhir

Tokan dadah, pemilik Revolver .38 ditahan [METROTV]

Oleh Rosliza Mohamed

TIGA lelaki ditahan berikutan penemuan sepucuk pistol dan dadah disyaki pil kuda bernilai RM92,000 di sebuah bangsal dalam sawah padi di Kampung Bendang Keladi, Batu Gajah, Tanah Merah, pada Rabu lalu.

Serbuan itu dilakukan Unit Risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada 1.20 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad berkata, semua suspek berusia antara 33 hingga 42 tahun cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan menemui sepucuk Revolver .38 dengan enam peluru hidup yang terselit di pinggang kanan seorang suspek.

“Pemeriksaan seterusnya menemui lima bungkusan plastik mengandungi sebanyak 9,200 biji disyaki pil kuda di bawah bangsal terbabit.

“Saringan ujian air kencing terhadap semua suspek juga positif methaphetamine dan masing-masing mempunyai antara tiga hingga 13 rekod jenayah berkaitan kes dadah dan jenayah lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 (Penalti Lebih Berat) 1971.

Katanya, siasatan awal mendapati bekalan dadah itu baru diperolehi daripada pembekal tidak sampai tempoh 24 jam.

“Malah, tempat mereka berkumpul juga baru aktif dua bulan lalu, selain pasukan kita melakukan intipan selama 30 minit sebelum membuat serbuan.

“Bekalan dadah itu juga untuk pasaran Tanah Merah dan Pasir Mas, pistol itu pula diperolehi dari negara jiran dengan harga RM6,000,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 1:51pm
d