mutakhir

[UPDATE] Teruskan misi cari 9 kru

Oleh Badrul Kamal Zakaria

MISI mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi kru kapal korek, JBB Rong Chang 8 yang hilang selepas kapal terbabit karam di perairan Parit jawa dekat Muar diteruskan dengan lokasi pencarian diperluaskan sehingga meliputi kawasan 400 batu nautika persegi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, setakat ini tiada penemuan mangsa terbaharu dan pasukan SAR akan terus menggunakan semua aset sedia ada untuk mengesan mangsa selain turut ditumpukan di kawasan persisiran pantai.

Katanya, Badan Pencarian dan Pertolongan Nasional (BASARNAS) Indonesia yang turut membuat pemantauan di perairan republik itu juga melaporkan tiada sebarang penemuan.

“Selain itu, unit helikopter Maritim Malaysia akan membantu pasukan SAR membuat pemantauan di udara di lokasi pencarian bagi mengesan kedudukan kru kapal berkenaan.

“Kita juga sudah menghubungi persatuan nelayan di sepanjang pantai antara Batu Pahat hingga ke Melaka untuk memaklumkan kepada pasukan SAR jika menemui mangsa di kawasan terbabit supaya tindakan dapat diambil segera,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, hari ini.

Selain itu, Sanifah berkata, pasukan penyelam tidak menemui mangsa lain di dalam kapal berkenaan dan pihaknya beranggapan baki sembilan lagi mangsa berada di bahagian luar kapal.

Sementara itu, lima kru kapal JBB Rong Chang 8 masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Mangsa yang selamat dilaporkan stabil dan mereka juga sudah boleh makan dan minum. Cuma mereka masih lagi di bawah pengawasan doktor kerana masih lagi dalam keadaan trauma.

“Pihak hospital khususnya pakar psikiatri juga sudah mengambil tindakan perlu dan mereka kini juga turut menerima rawatan di wad HPSF,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi Rabu lalu, Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang kru kapal terbabit disahkan meninggal dunia pada hari pertama operasi SAR dilaksanakan.

Dua lagi kru kapal terbabit berjaya diselamatkan pada hari ketiga apabila pasukan penyelam berjaya menemui dua mangsa yang terperangkap di dalam bilik enjin kapal.

Pada Sabtu lalu, pasukan penyelamat menemui mayat kru wanita dalam kabin penginapan kapal berkenaan, manakala mayat seorang lagi kru ditemui kira-kira enam batu nautika dari lokasi kejadian.

Pasukan SAR juga sudah menghentikan operasi menyelam hari ini selepas membuat pemeriksaan menyeluruh dan berulang kali di dalam kapal terbabit tetapi tidak menemui mangsa terbaharu.

Sehingga kini, lima mangsa berjaya diselamatkan manakala empat lagi ditemui meninggal dunia dan operasi diteruskan bagi mengesan sembilan lagi kru.

Berita berkaitan

Operasi menyelam dihentikan [METROTV]

[UPDATE] Kawasan pencarian diperluaskan [METROTV]

Identiti mangsa kapal korek dikenal pasti

Mayat ketiga sah wanita

Dua kru kapal korek ditemui selamat [METROTV]

Operasi SAR kritikal

'Berharap ada sinar hari ini'

Tunda kapal korek ke permukaan cetek [METROTV]

Semoga Aca selamat [METROTV]

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang [METROTV]

1 lemas, 14 hilang

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 4:22pm
d