mutakhir

Khutbah Jumaat dalam BM: Imam Besar Masjidil Haram [METROTV]

Oleh Daripada A Jalil Hamid

ARAB Saudi menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa asing bagi terjemahan secara langsung ketika khutbah Jumaat di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.

Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudais berkata, khutbah Jumaat dalam bahasa Melayu juga akan diadakan di Padang Arafah ketika musim haji.

Bercakap kepada kumpulan pengarang media dari Malaysia, Sheikh Abdul Rahman berkata, langkah itu menunjukkan betapa pentingnya ikatan bersama Malaysia bagi kerajaan Arab Saudi.

“Berita baik buat rakyat Malaysia iaitu Penjaga Dua Kota Suci bersetuju melaksanakan projek terjemahan secara langsung khutbah Jumaat di Makkah, Madinah dan Arafah (ketika musim haji) dalam bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu adalah satu daripada 10 bahasa yang disenaraikan dalam projek ini.

“Projek ini penting bagi masyarakat Asia Tenggara. Ia akan memanfaatkan mereka dan ia juga besar maknanya terhadap Malaysia dan jemaah dari negara itu.

“Penyenaraian bahasa Melayu (bagi projek khutbah Jumaat secara langsung) akan meningkatkan kefahaman mereka,” katanya.

Bahasa Melayu ditutur di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Terjemahan dalam bahasa Melayu itu menyusul selepas perkhidmatan terjemahan dalam bahasa Urdu dan bahasa Inggeris diperkenalkan.

Di Makkah, perkhidmatan berkenaan disediakan berhampiran pintu Raja Fahd yang dikhususkan buat jemaah bukan berbahasa Arab.

Alat bantu dengar dan peralatan audio kecil disediakan bagi kemudahan pengguna.

Peralatan itu disambung ke frekuensi FM yang menyiarkan terjemahan khutbah berbahasa Arab disampaikan khatib Masjidil Haram.

Sheikh Abdul Rahman yang juga Presiden Agung Hal Ehwal Dua Kota Suci, memuji Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan jemaah Malaysia.

“Islam di Malaysia adalah contoh unik bagi seluruh dunia. Kami amat menghargai peranan Tabung Haji yang mengendalikan urusan secara amat sistematik, dan menjadi contoh terhadap semua agensi haji negara lain.

“Jemaah Malaysia sangat berhemah dan menjaga tatatertib ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembesaran Masjidil Haram di Makkah kini berada di peringkat akhir dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung Ramadan.

Masjid yang diperluaskan itu kelak boleh menampung sehingga 1.6 juta jemaah pada satu masa.

Sheikh Abdul Rahman turut menyentuh soal ‘pengantarabangsaan’ kedua-dua kota suci itu dan memberi jaminan Arab Saudi berupaya menguruskannya, seiring kepentingan seluruh umat Islam.

Kerajaan Arab Saudi dan pemimpin Islam lain turut menyatakan tentangan terhadap cubaan mempolitikkan ibadat haji serta mengantarabangsakan dua kota suci iaitu Makkah dan Madinah.

Qatar dilaporkan mengulangi desakan Iran untuk memindahkan pusat pentadbiran dua kota suci umat Islam itu kepada badan Islam, permintaan yang dilihat lebih menjurus kepada pandangan pengikut dan bukannya konsensus Islam sejati.

Sheikh Abdul Rahman berkata, Arab Saudi dan Malaysia menampilkan kesederhanaan dalam Islam dan kedua-dua negara menjadi contoh kepada dunia.

Tegasnya, Islam tidak mempunyai kaitan dengan ekstremisme dan keganasan.

“Kedua-dua negara senada dalam menentang keganasan dan menolak ekstremisme,” katanya.

Mengenai berita palsu, beliau berkata, al-Quran dan hadis secara jelas menyatakan segala berita mesti disahkan kesahihannya.

Katanya, penyebaran berita palsu terutama menerusi media sosial mungkin didalangi ‘musuh’ yang ingin memecah-belahkan umat Islam.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 4:33pm
d