mutakhir

Kalau dah sakit, tak 'gagah' pun...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PENJUALAN ‘ubat kuat’ atau ubat perangsang seks masih berleluasa sama ada dalam talian atau di kedai kosmetik atau jamu, meskipun ia mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, ubat kuat ini mendapat sambutan kononnya mampu menjadikan golongan lelaki menjadi 'lebih gagah'.

Bagaimanapun katanya, ubat perangsang seks ini sebenarnya memberi kesan jangka masa panjang kepada pengguna terutama kerosakan buah pinggang.

"Kita mendapati golongan penjual berani menjual produk terlarang ini secara terbuka termasuk secara dalam talian dan di kedai jamu.

"Untuk mengekangnya, cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Kelantan membuat pemantauan dan operasi serta merampas 21 jenis ubat perangsang seks pada awal Mac lalu berjumlah RM33,715 di dua premis di Bachok.

"Premis ini didapati menjual ubat kuat secara dalam talian dan terbuka yang menarik golongan lelaki untuk membelinya," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Kota Bharu.

Beliau berkata, produk kuat yang dirampas disyaki mengandungi racun berjadual dan tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, semua rampasan disimpan di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan dan Peraturan 18A Peraturan-peraturan yang sama.

"Jika disabitkan kesalahan individu atau penjual boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan dadah iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 9:58pm
d