mutakhir

Tujuh jam 'jinak' 16 burung merbuk

Oleh HM Digital

Seremban: “Ini tangkapan paling banyak pernah saya dapat walaupun terpaksa menunggu lebih tujuh jam,” kata Ong Mee Chong, 30, dari Banting, Selangor yang berjaya memikat 16 burung merbuk.

Ia sekali gus menjadikan Ong sebagai juara kategori merbuk pada Pertandingan Trip Santai Mikat Merbuk/Tekukur Terbuka Negeri Sembilan 2018 di Taman Angsamas, dekat sini, kelmarin.

Dia antara 800 peserta dari seluruh negara yang menyertai pertandingan anjuran Kelab Persahabatan Tekukur/Merbuk Negeri Sembilan (PTMNS) dan Geng Hati Kering Tekukur Merbuk (GHKTM) di lokasi sekitar daerah ini, Rembau, Rantau dan Jelebu bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

Ong berkata, dia tidak menyangka burung yang digunakan untuk memikat menjadi walaupun terpaksa menunggu dengan penuh sabar.

“Burung pemikat yang saya gunakan dilatih dan pernah ada individu hendak membelinya dengan harga RM1,300.

“Ternyata burung itu tidak pernah mengecewakan saya dan ia sangat agresif serta berjaya menarik perhatian burung lain untuk terkena jerat.

“Ini kemenangan kali keempat saya sejak mula bergiat aktif dalam aktiviti memikat merbuk dan tekukur tujuh tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Shamsudin Jaafar, 38, dari Muar Johor, memenangi kategori tekukur selepas berjaya menjerat sembilan ekor burung itu.

Peniaga makanan itu berkata, dia mengambil masa hampir enam jam untuk memikat burung berkenaan dengan lokasi memikat itu dilakukan di kawasan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan sekitar Taman Angsamas.

Menurutnya, minatnya dalam aktiviti memikat burung bermula sejak usianya 20-an dan dia melakukan aktiviti itu bersama rakan di sekitar Muar dan Melaka.

“Saya tidak akan melepaskan peluang menyertai pertandingan kerana dari situ kita dapat menguji kehebatan burung pemikat yang kita miliki.

“Setakat ini, saya sudah merangkul tiga kejuaraan namun pertandingan kali ini begitu mencabar kerana jerat mula mengena selepas dua setengah jam dipasang namun saya puas hati kerana ia antara tangkapan tertinggi pernah saya dapat setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu Presiden PTMNS, Muhammad Nazri Hassan berkata, pertandingan itu bertujuan menghimpunkan peminat dan penggemar kedua-dua burung berkenaan dari pelbagai kaum selain mengeratkan silaturahim antara peserta.

Menurutnya, walaupun tidak menawarkan hadiah wang tunai sebaliknya peralatan memikat dan sangkar burung tetapi sambutan diterima sangat baik termasuk yang datang dari jauh.

“Sebanyak 100 burung merbuk dan 87 tekukur berjaya ditangkap peserta pertandingan dan ia antara tangkapan paling tinggi.

“Semua burung berkenaan akan dijual kepada pemborong pada harga antara RM5 hingga RM8 seekor dan hasil jualan didermakan kepada rumah anak yatim,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 9:14am
d